TEMERLOH - Pembinaan terminal pengangkutan awam atau Temerloh Sentral yang dicadang dibina berhampiran Taman Seri Kemuning dijangka dapat dilaksana dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Syed Mohd Nor Syed Jaafar berkata, Temerloh Sentral yang dibina dalam kawasan berkeluasan 2.8 hektar itu kini dalam peringkat pengambilan tanah kerana ia dibina di kawasan tanah hak milik individu.

Menurutnya, MPT juga telah membayar deposit 50 peratus daripada nilai tanah dicadangkan untuk dibangunkan itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.

“Pembinaan terminal pengangkutan bersepadu di kawasan itu adalah strategik memandangkan terletak berhampiran jalan raya utama selain berhampiran

Lebuhraya Pantai Timur,” katanya. Syed Mohd Nor berkata, lokasi Temerloh Sentral itu juga terletak di tengah- tengah antara bandar Temerloh dan Mentakab dan laluan utama ke Kuala Krau.

Beliau berkata, sekiranya fasa pengambilan tanah itu berjalan lancar, kerja pembinaan dijangka mengambil masa tiga tahun dan boleh beroperasi pada 2019.

Menurutnya, semua pengangkutan awam terutamanya bas dan teksi sedia ada akan dipindahkan ke

Temerloh Sentral apabila siap nanti. Sementara itu katanya, stesen bas lama Temerloh di Lurah Semantan akan dijadikan terminal hentian bas antara bandar sekali gus menghidupkan perniagaan di kawasan tersebut.

“Apabila semua fasa berjalan lancar, MPT akan kemukakan pelan pembangunan kepada Ecer untuk dipersetujui nilai pembangunan yang dicadang dibangunkan di kawasan itu.

“Projek Temerloh Sentral ini dibangunkan di bawah peruntukkan Ecer dan dijangka memberi impak ekonomi yang baik kepada penduduk di Temerloh dan berhampiran,” katanya.