Berita

Acara Perhimpunan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2020 Peringkat Daerah Bera

editor

BERA, 31 OGOS 2020 - Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2020 Peringkat Daerah Bera bertempat di Dewan Seri Kempas Kuarters IPD Bera, Bandar Bera telah diraikan dengan suasana norma baharu sejak negara dilanda wabak Covid-19 pada 31 Ogos 2020 yang lalu. Acara perhimpunan ini telah disertai seramai 150 orang peserta daripada pelbagai  Jabatan dan Agensi Kerajaan di daerah ini. Sambutan yang bermula pada jam 7.45 pagi ini telah dimulakan dengan pelepasan Acara Berbasikal Kayuhan Anak Merdeka oleh Pegawai Daerah Bera, Tuan Mohd Khuzaidi bin Harun yang disertai seramai 160 orang peserta anjuran bersama Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Bera. Selepas itu, acara diteruskan dengan nyanyian lagu 'Negaraku' dan Lagu 'Allah Selamatkan Sultan Kami' serta Lagu Tema Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2020 iaitu 'Malaysia Prihatin' secara berama-ramai.

 Sejurus bacaan doa selesai oleh Timbalan Al-Fadhil Qadhi Daerah Bera, Ia diikuti dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh Pengerusi Belia FELDA Malaysia Daerah Bera,Izzudin Zulkifli bersama-sama para peserta kotinjen dan juga hadirin. Tuan Mohd Khuzaidi bin Harun, Pegawai Daerah Bera selaku Pengerusi Induk Jawatankuasa Program  menyampaikan sedikit ucapan kepada semua hadirin sambil mendegar rakaman amanat YAB. Menteri Besar Pahang yang telah disediakan oleh Unit Komunikasi Media Pahang (UKOMP).

 Selepas itu dimulakan dengan acara persembahan dewan iaitu bacaan deklamasi sajak  dengan penuh penghayatan oleh 2 orang pelajar dari SMK Purun dan SMK Bukit Mendi yang menarik perhatian para hadirin di dewan itu.

 Selesai acara persembahan dewan tersebut, Pegawai Daerah Bera telah menyampaikan sijil penyertaan kepada semua kontijen yang mewakili jabatan dan agensi masing-masing serta kepada 2 orang pelajar pembaca deklamasi sajak tersebut. Sejurus sebelum tamat program bagi acara perhimpunan tersebut, para hadirin semua berdiri bagi menyanyikan 3 buah lagu patriotik iaitu “Keranamu Malaysia”, “Tanggal 31 Ogos”, dan  “ Jalur Gemilang”. Pegawai Daerah Bera telah meninggalkan majlis tersebut pada jam 10.00 pagi. Alhamdulillah walaupun program ini dijalankan secara sederhana bagi memenugi amalan norma baharu ianya tetap disambut dengan meriah.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 16 kali.


Kembali ke Atas