Berita

PROGRAM KEMBARA RAMADAN TEMENGGONG 2018 DI DAERAH BERA

editor

Pada 23 Mei 2018 bersamaan 7 Ramadan 1439 Hijrah telah berlangsung Program Kembara Ramadan Temenggong 2018 yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bertempat di Felda Bukit Kepayang Daerah Bera.

Program kembara ini bermula dengan ketibaan Tengku Arif Temenggong Pahang bersama Yang Amat Mulia Tengku Dato' Indera Aidy Ahmad Shah bin Tengku Kamil di Masjid Felda Bukit Kepayang. 
Konvoi yang disertai oleh Pegawai Daerah Bera, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Bera, Majlis Ugama Islam Bera, serta Pengurus Rancangan bersama-sama mengiringi Tengku Arif Temenggong menziarahi 3 buah rumah asnaf bagi menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan serta beramah mesra dengan masyarakat setempat.

Tengku Arif Temenggong turut berkesempatan untuk bersama-sama GPW Felda Bukit Kepayang untuk mengacau bubur lambuk di Perkarangan Masjid Felda Bukit Kepayang dan seterusnya menunaikan solat asar secara berjemaah.

Pada sebelah petangnya pula, Tengku Arif Temenggong berkesempatan untuk bersukan bersama-sama belia generasi kedua Felda Bukit Kepayang di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Kepayang.

Majlis penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan telah diadakan di Masjid Felda Bukit Kepayang dan seramai 50 penerima serta 7 keluarga Asnaf telah menerima sumbangan daripada Tengku Arif Temenggong Pahang serta cenderahati dari Majlis Ugama Islam Negeri Pahang.

Tengku Arif Temenggong Pahang turut bersama-sama masyarakat Felda Bukit Kepayang berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dan seterusnya berangkat meninggalkan majlis. 

Warga Bera berasa amat bertuah dengan kunjungan ini dan mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan Program Kembara Temenggong 2018.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 72 kali.


Kembali ke Atas