Berita

Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Daerah Bera Disambut Dengan Semangat Patriotik

editor

BERA- Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Ke 62 Peringkat Daerah Bera bertempat di Padang Awam Majlis Daerah Bera telah diraikan dengan penuh semangat patriotik pada 31 Ogos 2019 yang lalu.  Perarakan disertai 639 orang peserta mewakili 22 kontinjen yang terdiri daripada pelbagai  Jabatan dan Agensi Kerajaan disamping Persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan di daerah ini. Sambutan  yang bermula pada jam 7.30 pagi ini diteruskan dengan nyanyian lagu 'Negaraku' dan Lagu 'Allah Selamatkan Sultan Kami' serta Lagu Tema Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2019 iaitu 'Malaysia Bersih' secara berama-ramai.

        Sejurus bacaan doa selesai, Ia diikuti dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh Pengerusi Belia FELDA Malaysia Daerah Bera,Izzudin Zulkifli bersama-sama para peserta kontinjen dan juga hadirin. YH. Dato' Razihan bin Adzharuddin, Pegawai Daerah Beramenyempurnakan program dengan menyampaikan Amanat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang. 

         Antara persembahan padang yang menarik perhatian orang ramai adalah persembahan pancaragam, serta Tarian Kebudayaan Malaysia yang meliputi tarian pelbagai kaum yang telah dipersembahkan  oleh Pelajar Sekolah Menengah (J) Kebangsaan Triang.

         Persembahan padang yang terakhir yang memukau penonton iaitu persembahan Seni Mempertahankan Diri dan Tempur Tanpa Senjata(TTS)  oleh Rejimen Ke-34 Artileri Diraja. Persembahan berkenaan begitu berkesan sekali sehinggakan para penonton tidak berganjak walaupun cuaca mulai panas terik. 

                      Pegawai Daerah Bera telah menyampaikan hadiah kepada kontinjen terbaik dan juga kepada pengunjung yang bertuah disamping sijil penyertaan serta penghargaan kepada semua kontinjen perbarisan dan juga pihak urus setia yang terlibat. Kehadiran masyarakat setempat yang membanjiri kawasan ini menunjukkan semangat perpaduan dan cintakan negara yang masih lagi mendalam dalam jiwa rakyat Malaysia.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 19 kali.


Kembali ke Atas