Pengumuman

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI PEGAWAI DAERAH BERA


Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Alhamdulillah marilah kita sama-sama dengan rasa rendah diri merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat menyempurnakan ibadah puasa yang merupakan Rukun Islam ketiga pada tahun 1443H. 

Saya pasti kita semua pasti merindui bulan Ramadan yang merupakan bulan yang penuh keberkatan. Semoga semua amalan kita di bulan Ramadan diterima dan diangkat oleh Allah SWT dan menjadi bekalan kita di akhirat kelak. Taqobbalallohu minna wa minkum.

Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal juga turut dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah dan juga Hari Lebaran. Ianya disambut sebagai hari kemenangan bagi umat Islam iaitu dari segi spiritual atau rohani iaitu puncak kemenangan umat Islam dalam peperangan antara akal dan nafsu.

Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat beraya bersama-sama keluarga. Dalam kita bergembira, ingatlah kepada saudara-saudara kita yang susah. Ambillah peluang untuk bersedekah dan janganlah berlebih-lebihan dalam berbelanja.

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga PDT Bera dan masyarakat di daerah Bera. Saya juga ingin berpesan agar kita semua sentiasa menjaga kesihatan. Walaupun kerajaan telah mengumumkan beberapa kelonggaran dalam SOP COVID-19 bermula 1 Mei 2022, ianya bukan menjadi sebab untuk kita tidak berwaspada. Amalkanlah disiplin yang telah kita terapkan sepanjang pandemik COVID-19 tempoh hari. Salam Lebaran, Maaf Zahir dan Batin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 15 kali.


Kembali ke Atas