Perutusan Pegawai Daerah



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

 

Alhamdulillah dengan izin Allah Yang Maha Kuasa, sekali lagi kita diizinkan untuk melalui tahun baru 2023 setelah berlabuh tirai tahun 2022. Walaupun tahun 2022 boleh dikatakan sebagai tahun kebangkitan setelah 2 tahun sebelum itu kita menghadapi wabak COVID-19, namun masih ada segelintir daripada kita yang menghadapi cabaran dalam bangkit semula.

 

Dalam kegembiraan kita menyambut tahun baru, wajarlah kita sama-sama menginsafi diri kerana terdapat saudara-saudara kita yang baru sahaja menghadapi musibah bencana banjir. Kita juga harus bersedia kerana Monsun Timur Laut masih lagi belum berakhir. Bencana banjir saban tahun memberi impak yang besar kepada masyarakat dari segi ekonomi dan psikologi. Sebagai masyarakat yang prihatin, saya menyeru agar kita berganding bahu dalam membantu mangsa-mangsa banjir. Sekiranya mampu, kita boleh membantu dari segi wang ringgit dan dan juga membantu membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir. Jika tidak mampu dan tidak berkesempatan, cukuplah sekadar kita berdoa agar urusan mangsa-mangsa banjir ini dipermudahkan.

 

Dari segi pencapaian, Negeri Pahang telah mencatatkan pencapaian yang amat baik pada tahun 2022 terutamanya dari segi pelaburan dan kutipan hasil. Buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil melebihi angka RM1billion dan juga menarik pelaburan berjumlah melebihi RM20billion.  Jumlah hasil yang besar ini disumbangkan oleh semua daerah di Pahang termasuklah daerah Bera. Dengan berbekalkan kutipan hasil yang tinggi ini, satu Belanjawan Pahang 2023 telah dibentuk bertemakan “Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera”.

 

Walaupun kita telah memasuki era pasca pandemik COVID-19, namun tahun 2023 diramalkan agak sukar kerana kita dijangka berhadapan dengan kemelesetan ekonomi global dan kadar inflasi yang akan meningkat. Kesan perubahan iklim akibat pemanasan global juga dijangka akan mempengaruhi sektor ekonomi.

 

Justeru kita hendaklah sentiasa bersedia dalam menghadapi situasi ini dengan memperkukuhkan ekonomi keluarga dan memastikan perbelanjaan dilaksanakan dengan berhemah. Namun kita tidak harus begitu khuatir kerana dengan izin Allah jua, Kerajaan Negeri telah mengatur 5 Strategi Utama dalam memastikan Belanjawan 2023 memberi manfaat kepada seluruh rakyat Pahang tanpa mengira lapisan masyarakat.

 

Bagi PDT Bera, semua warga diseru untuk tingkatkan tekad dan mantapkan motivasi dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Semua strategi dan inisiatif yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri hendaklah dilaksanakan dengan penuh dedikasi bagi memastikan kejayaan negeri dapat terus dicapai sekaligus memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat. Semua ini hanya dapat dicapai dengan iltizam yang tinggi disulami dengan sifat berintegriti bagi memastikan hasil dapat ditingkatkan dan ketirisan dihapuskan.

 

Akhir kata, semoga kita dapat mengharungi tahun 2023 dengan makmur dan dikurniakan sukacita, kedamaian, cinta, rahmat, kebahagiaan, kehidupan yang berkelimpahan serta dapat memanifestasikan keazaman yang telah diperancanakan bagi tahun 2023.

 

Sekian, terima kasih.

DATO' ZAMAN AZAM BIN MOHAMAT SARIF @ AHMAT,DIMP., SMP., AAP.
PEGAWAI DAERAH BERA M54

Tarikh Kemaskini: 13/02/2023 10:27:31

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 4171 kali.


Kembali ke Atas