Berita
KEBERANGKATAN KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG, TENGKU MAHKOTA TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH IBNI AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH KE DAERAH BERA
BERA, 10 OGOS 2021 - Keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke daerah Bera pada 10 Ogos 2021 bersamaan 1 Muharram 1443H di Felda Triang 1.
Taklimat berkaitan operasi pemusnahan bom yang telah ditemukan oleh penduduk di Felda Triang 1 baru-baru ini telah dipersembahkan oleh YH Dato’ Zaman Azam bin Mohamad Sarif@Ahmat, Pegawai Daerah Bera.
Bom yang telah dijumpai seberat 500 paun dipercayai adalah daripada kesan Perang Dunia Kedua. Bom tersebut telah berjaya dimusnahkan dengan bantuan Unit Pemusnah Bom Bukit Aman dan Temerloh pada 5 Ogos 2021.
KDYMM Pemangku Raja Pahang berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa 17 buah rumah yang mengalami kerosakan kesan daripada operasi pemusnahan bom tersebut.
Baginda turut berkenan menziarah ke beberapa rumah mangsa yang terjejas bagi menyempurnakan kurniaan sumbangan.
Baginda turut berkesempatan ke lokasi bom ditemukan dan seterusnya berangkat meninggalkan daerah Bera pada jam 2.30 petang.
Kembali ke Atas