Berita

Banjir kilat: 42 keluarga, SJKT Ladang Menteri terjejas

editor

BERA - Banjir kilat yang berlaku di sekitar Taman Tanjung Jaya dan Kampung Limau dekat Kemayan di sini menyebabkan 42 keluarga  kerugian antara RM10,000 hingga RM15,000 apabila rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat tanpa henti melebihi dua jam petang semalam.

Banjir kilat itu turut menjejaskan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kemayan apabila keseluruhan kelas dan bilik di setiap bangunan terlibat.

Guru Besar, V. Tamilselvey berkata, semua bangunan sekolah dinaiki air melebihi 0.5 meter.

Menurutnya, pihak sekolah tidak mampu berbuat apa-apa kerana air naik terlalu cepat.

"Hari ini, pihak sekolah dengan kerjasama guru dari sekolah berhampiran, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba Sukarelawan dan ramai lagi turun membantu membersihkan sekolah.

"Murid-murid yang hadir ke sekolah hari ini, kita tempatkan mereka di kuil berdekatan kerana tiada kelas yang boleh digunakan," katanya.

Seorang penduduk di Taman Tanjung Jaya, Sharizal Saidin, 43 berkata, air naik terlalu cepat sehingga dia sekeluarga tidak sempat mengalihkan barangan dan perabot terutamanya peti sejuk, mesin basuh dan almari kayu.

"Selalunya kalau hujan, air hanya mengalir atau bertakung dalam kawasan kebun sawit di depan ni sahaja.Tapi kali ni, air naik mendadak terus mencecah hampir satu meter.

"Mujur saya dan keluarga ada di rumah, sekurang-kurang sempat capai barang yang boleh dicapai untuk letak tenpat tinggi," katanya.

Ibnu Abas Kaidir, 39 memberitahu, sejak dia menyewa di rumah ini tujuh tahun lalu, ini adalah pertama kali dia berhadapan dengan situasi ini.

Katanya, semasa kejadian, dia baharu sahaja menunaikan solat Maghrib dan menyedari air mula memasuki rumahnya.

"Memang tak sangka air boleh melimpah, sebab kebiasaannya kalau hujan lebat sekali pun, air tak akan melimpah.

"Bila berlaku keadaan macam ni, saya pun jadi panik. Tak tahu nak selamatkan yang mana dulu, jadi saya ambil mana yang nampak selebihnya saya tak mampu buat apa-apa," katanya.

Sementara itu, penduduk dari Kampung Limau, P. Maniam, 48 terkejut apabila dimaklumkan oleh jiran kawasan perumahan mereka dinaiki air.

"Tiada siapa di rumah masa itu, saya bersama isteri ke klinik sebab saya demam. Jadi, bila jiran telefon, saya bergegas balik tapi tak sempat juga sebab laluan dari Pekan Mengkuang sudah naik air.

"Saya terpaksa tunggu air surut di laluan utama ke Kemayan, dan sampai di rumah pada tengah malam. Saya bermalam di rumah saudara, dan pagi tadi  baru datang bersihkan rumah," katanya.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 170 kali.


Kembali ke Atas