Berita
Majlis Perasmian Hospital Bera
BERA, 20 Ogos 2022 - Majlis Perasmian Hospital Bera telah disempurnakan oleh YAB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bera.
Majlis Perasmian ini turut dihadiri YB Khairy Jamaludin, Menteri Kesihatan, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, Datuk Harjeet Singh a/l Harder Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato' Seri Dr Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, YB Dato' Seri Rina binti Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Kekuarga & Masyarakat dan YB Dato' Sri Norolazali bin Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan & Kesihatan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Kawasan Guai
Hospital Bera ini siap dibina dan telah pun beroperasi pada 1 Julai 2022 yang akan dapat memberi manfaat kepada 150,000 penduduk di sini. Pembinaan hospital ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dengan peruntukan kos sebanyak RM92.5 juta di atas tapak seluas 13.35 hektar.
YAB Perdana Menteri telah dibawa melawat sekitar Hospital Bera yang dilengkapi dengan 40 buah katil. Hospital ini juga beroperasi dengan pelbagai inovasi dan kaedah rawatan sistem IT sepenuhnya untuk pengurusan pesakit, transaksi tanpa tunai, nombor giliran digital menggunakan aplikasi WhatsApp, remote ultrasound bersama pakar dari HOSHAS secara atas talian dan pelbagai lagi kaedah perkhidmatan terkini. Sekitar lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri diberi taklimat berkaitan pengoperasian dan melihat demonstrasi Ambulans, Sistem HIS Lite untuk Dewan Bersalin, Bed Watcher System dan Remote Ultrasonography bagi Wad Bersalin serta Teknologi Robotik bagi Wad Kanak-Kanak.
Hospital Bera ini juga menyediakan kemudahan penginapan Anjung Kasih bagi keselesaan waris/ anggota keluarga pesakit yang sedang dirawat di hospital ini. Antara kemudahan yang disediakan di Anjung Kasih hospital ini adalah ruang rehat, ruang makan, bilik penginapan dan kemudahan mencuci pakaian.
Majlis telah berakhir sekitar jam 2.00 petang.
Kembali ke Atas