Berita
MAJLIS PERASMIAN MASJID DAN BERBUKA PUASA BERSAMA KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PAHANG TAHUN 1443 HIJRAH/ 2022 MASIHI DAERAH BERA
BERA, 15 APRIL 2022 - Majlis Perasmian Masjid dan Berbuka Puasa Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tahun 1443H/ 2022M telah diadakan pada 15 April 2022 (Jumaat) jam 6.00 petang di Masjid Baharu Kampung Mengkarak, Bera, Pahang.
KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Baharu Kampung Mengkarak, Bera dengan nama Masjid Al-Muttaqin, Kampung Mengkarak.
Majlis Perasmian ini turut disertai program berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Baginda sempat mengurniakan sumbangan kepada 100 orang asnaf dan menyampaikan 10 komputer riba sumbangan anak syarikat Tabung Haji kepada pelajar golongan asnaf.
Turut hadir bagi majlis ini adalah YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang ; YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad , Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang ; YB Dato' Sri Norolazali bin Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang ; serta Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang.
Masjid Al-Muttaqin, Kampung Mengkarak telah siap dibina sepenuhnya pada 11 Mei 2016 dengan kos pembinaan sebanyak RM 1.4 juta boleh memuatkan seramai 350 jemaah pada satu-satu masa. Majlis ini telah berakhir sekitar jam 8.00 malam.
Kembali ke Atas