Berita
Majlis Perasmian Program Jom Masuk Kampung & Hari Potensi KEMAS Daerah Bera
BERA, 20 Ogos 2022 - Majlis Perasmian Program Jom Masuk Kampung & Hari Potensi KEMAS Daerah Bera telah dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bera.
Majlis Perasmian ini turut dihadiri YB Dato' Sri Norolazali bin Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan & Kesihatan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Kawasan Guai, Dato' Ramlan bin Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Ybhg Dato' Mohamad Yasid bin Bidin, Ketua Pengarah KEMAS Malaysia dan YH Dato' Zaman Azam bin Mohamat Sarif @ Ahmat, Pegawai Daerah Bera.
Dalam ucapan perasmian YAB Perdana Menteri, beliau berkata empat (4) premis tabika Kemas yang terjejas banjir di Daerah Bera awal tahun ini telah selesai dibaiki, dengan peruntukan hampir RM150,000 selain kerajaan sedang mengkaji cadangan membina Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Bera dan menaik taraf Pusat Komuniti Kemas kepada Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas Bera dengan kos RM18.927 juta. Cadangan itu akan dilaksanakan di bawah Rancangan Boleh Pinda ketiga tahun hadapan, dan kewujudan pusat tersebut diharapkan dapat menyediakan kemudahan tempat dan penginapan kepada peserta aktiviti Kemas.
YAB Perdana Menteri juga menegaskan bahawa pendidikan merupakan agenda utama kerajaan dan menjadi aspek paling dititikberatkan beliau sejak menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2004, kerana pendidikan awal merupakan permulaan kepada kejayaan yang lebih tinggi.
Kembali ke Atas