Berita
Majlis Perjumpaan Pegawai Daerah Bera Bersama Kakitangan Pejabat Daerah Dan Tanah Bera
BERA, 10 Jan 2023 - Majlis Perjumpaan Pegawai Daerah Bera Bersama Kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Bera telah diadakan pada 10 Januari 2023 (Selasa) jam 9.30 pagi di Bilik Gerakan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Bera.
YH Dato' Zaman Azam bin Mohamat Sarif@ Ahmat, Pegawai Daerah Bera telah menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2023 kepada kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Bera. Antara intipati perutusan adalah, YH Dato' memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah mencatatkan pencapaian yang amat baik pada tahun 2022 terutamanya dari segi pelaburan dan kutipan hasil. Dengan berbekalkan kutipan hasil yang tinggi, satu Belanjawan Pahang 2023 telah dibentuk bertemakan “Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera”. Kerajaan Negeri telah mengatur 5 Strategi Utama dalam memastikan Belanjawan 2023 memberi manfaat kepada seluruh rakyat Pahang tanpa mengira lapisan masyarakat.
YH Dato' Pegawai Daerah juga menyeru semua kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Bera meningkatkan tekad dan memantapkan motivasi dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Pada perjumpaan ini, YH Dato' Pegawai Daerah telah menyampaikan sijil dan trofi Anugerah Pencapaian Cemerlang System Star Rating (SSR) Pejabat Daerah dan Tanah Bera kepada Encik Nik Mohd Azrul bin Abdul Ghafar, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah).
YH Dato' Pegawai Daerah juga telah menyampaikan sijil penyertaan bagi Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam (MPIPA) dan Anugerah Pahang Inovatif (API) Peringkat Negeri Pahang 2022 kepada Cik Noor Azura binti Md Daud, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) mewakili kumpulan PADU yang telah menyertai pertandingan tersebut dengan tajuk projek “Bank Data Bantuan Ekonomi”.
Majlis diakhiri dengan gimik pengundian wakil Majlis Bersama Jabatan (MBJ) oleh Pegawai Daerah Bera dan telah berakhir sekitar jam 10.00 pagi.
Kembali ke Atas