Berita

Sambutan Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Daerah Bera Disambut Secara Sederhana Namun Meriah

editor

BERA, 31 Ogos- Sambutan Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Daerah Bera bertempat di Padang Awam Majlis Daerah Bera telah disambut dengan jayanya pada 31 Ogos 2018 yang lalu.  Sebanyak 25 kontijen dengan peserta seramai 797 orang yang terdiri daripada pelbagai  Jabatan dan Agensi Kerajaan serta Badan Berkanun juga Persatuan di daerah ini telah menyertai Acara Perbarisan bagi program sambutan berkenaan. Program yang bermula pada jam 7.30 pagi ini telah dimulai dengan acara nyayian lagu “Negaraku” dan Lagu “Allah Selamatkan Sultan Kami” serta Lagu Tema Sambutan Hari Kebangsaan Tahuan 2018 iaitu “Kita Punya Malaysia” secara berama-ramai. 

            Sejurus bacaan doa selesai,  Pengerusi Belia FELDA Daerah Bera telah mengetuai Bacaan Ikrar bersama-sama wakil pelbagai kaum diikuti para peserta program dan juga para hadirin. Sebelum acara persembahan padang bermula, YH. Dato' Razihan bin Adzharuddin, Pegawai Daerah Bera selaku Pengerusi Induk Jawatankuasa Program terlebih dahulu menerima watikah daripada 'Hantu Rimba' Angkatan Tentera Malaysia bagi menyampaikan Amanat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang. 

 

             Antara persembahan padang yang telah memukau para hadirin adalah persembahan pancaragam, permainan Yo-yo Cina serta Tarian Kebudayaan Malaysia yang meliputi tarian pelbagai kaum. Kesemua persembahan ini telah disampaikan oleh Pelajar Sekolah Menengah (J) Kebangsaan Triang. Ahli Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia Cawangan Bera pula telah diberi kepercayaan bagi membuat persembahan pencak silat.

 

             Acara persembahan padang yang terakhir iaitu pantomen berkisarkan Sejarah Perjuangan Pembebasan Ancaman Komunis oleh Angkatan Tentera Malaysia telah berjaya menarik perhatian orang ramai. Persembahan berkenaan begitu berkesan sekali sehinggakan para penonton tidak berganjak walaupun cuaca mulai panas terik.    

 

             Kontijen Polis DiRaja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Bera telah berjaya menjadi johan untuk kategori pasukan beruniform bagi Acara Perbarisan tersebut. Manakala  pemenang tempat pertama bagi kategori Jabatan Kerajaan(Awam) dan Badan Bukan Kerajaan masing-masing telah dimenangi oleh Kontijen MoA Inc. Daerah Bera serta Kontijen Parlimen Bera.

 

            Sebelum program berakhir, Pegawai Daerah Bera telah menyampaikan hadiah kepada kontijen yang menang serta kepada pengunjung yang bertuah disamping sijil penyertaan dan penghargaan kepada semua kontijen perbarisan dan juga pihak urus setia yang terlibat.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 167 kali.


Kembali ke Atas